Sejarah PDIK

SEJARAH PUSAT DAKWAH ISLAM NEGERI KEDAH


Pusat Dakwah Islam Negeri Kedah dibuka dengan rasminya pada 27 April 1978 dengan limpah perkenan D.Y.M.M Tuanku Sultan Abdul Halim Muazham Shah Ibni Al Marhum Sultan Badlishah, Tuanku Sultan Negeri Kedah. Hasrat untuk membina sebuah bangunan yang menjadi pusat kegiatan Dakwah Islamiyah di negeri ini lahir dari keinginan YAB Dato' Seri Syed Ahmad Shahabudin Al Haj, Menteri Besar Negeri Kedah Darul Aman. .

Dari situasi kegiatan berbagai badan dakwah yang beraneka corak dan bentuk kegiatannya di dalam masyarakat, seringkali juga timbulnya penyelewengan di antara badan-badan tersebut dalam kegiatannya menyebabkan timbulnya kesangsian di kalangan masyarakat Islam sendiri di atas usaha mulia ini. Maka dari perbincangan beberapa orang bersama YAB Dato' Seri Menteri Besar di kediamannya, suatu usaha untuk membina sebuah bangunan yang dilengkapi dengan sebuah perpustakaan dan sebuah dewan syarahan serta sebuah masjid perlu segera diwujudkan di tengah-tengah bandar negeri yang sedang pesat membangun ini untuk dijadikan sebuah pusat kegiatan Dakwah Islamiah yang dapat diselaraskan dengan badan-badan dakwah yang sedia ada di dalam negeri ini.

Suatu mesyuarat pertama telah diadakan pada 12hb Mac 1975 di Bilik Gerakan II Wisma Negeri dan menubuhkan dengan rasminya sebuah Jawatankuasa pembinaan yang dipengerusikan oleh YAB Dato' Seri Menteri Besar sendiri dengan ahli-ahlinya yang terdiri daripada beberapa orang Ketua Jabatan Kerajaan dan Badan-badan Dakwah seperti PERKIM, Jabatan Agama Islam dan guru-guru Agama serta pemimpin-pemimpin masyarakat.
Dua buah jawatankuasa kecil juga dibentuk, iaitu Jawatankuasa Teknik dan Kewangan. Setelah mendapat kelulusan daripada Kerajaan Negeri di dalam penubuhan jawatankuasa ini, Arkitek Antara telah dipilih dalam membuat rekabentuk bangunan tiga serangkai dan menyelenggarakan pembinaan bangunan.

Usaha pertama di dalam memungut derma di kalangan Pegawai-pegawai Muslim di dalam Jabatan-jabatan dan agensi Kerajaan telah pun diadakan pada bulan Oktober dan November 1975 dengan sumbangan 2 % dari gaji bulanan bagi tiap-tiap bulan selama 2 bulan. Sambutan yang menggalakkan dikalangan pegawai-pegawai semua peringkat termasuk mereka yang bukan Islam telah diterima, dituruti pula sumbangan-sumbangan yang semakin bertambah dari pelbagai pertubuhan dan orang perseorangan mengisi tabung binaan tersebut.
Suatu upacara kecil meletak batu asas telah diadakan di tapak binaan bangunan tersebut oleh YAB Dato' Seri Syed Ahmad Shahabudin Al Haj pada 26 Januari 1976 jam 3.30 petang dengan harapan agar pembinaannya mencapai matlamat Dakwah Islamiyah yang berkembang mewarisi generasi akan datang.


Dalam usaha untuk mendapat sumbangan bagi menyegerakan binaan bangunan tersebut,D.Y.M.M Tuanku Sultan telah berkenan melancarkan Bulan Derma Pusat Dakwah pada 2 September 1976 semasa Pertandingan Akhir Musabaqah Al Quran Peringkat Negeri di Masjid Zahir, Alor Setar malah baginda sendiri telah mengurniakan derma untuk pelancaran tersebut sebanyak RM 10,000.00 diikuti pula kurniaan dari Y.M.M Tuanku Bendahara sebanyak RM 5,000.00. Maka dengan sumbangan Baginda berdua memulai pelancaran Bulan Derma tersebut mendapat sambutan yang menggalakkan dari pelbagai lapisan masyarakat negeri ini.


Pada 12 Oktober 1976 Jawatankuasa telah bersetuju menerima tawaran yang dibuat oleh Lean Huat Construction Co. dari Pulau Pinang untuk membina bangunan tersebut dengan pengawasan Arkitek Antara dengan anggaran perbelanjaan membina bangunan.


Pembinaan telah dimulakan pada 8 Disember 1976 sebanyak RM 323,608.20. Ketika bangunan ini dalam pembinaannya, YAB Dato' Seri Dr. Mahathir Mohamad, Timbalan Perdana Menteri Malaysia sempat pula melawat menyaksikan kerja-kerja pembinaan. Kerajaan Pusat juga turut menyumbangkan sebanyak RM 200,000.00 disamping sumbangan kerajaan negeri sebanyak RM 60,000.00 dan Jabatan Zakat RM 50,000.00.


Kerja-kerja pembinaan ditambah lagi dengan membuat beberapa tambahan kepada lantai, tiang dan tingkap untuk menambah kecantikan bangunan ini, pembinaan bangunan ini siap sepenuhnya pada 31 Januari 1978.


Sungguhpun bangunan tersebut masih memerlukan banyak buku-buku dan perabot untuk Perpustakaan, adalah dipercayai dengan kewangan yang sedia ada dan sumber-sumber tambahan yang bakal diperoleh akan dapat mengisi keperluan-keperluan serta kelengkapan bangunan ini sepenuhnya.