11 December 2011

SALAM MAAL HIJRAH 1433H


USTAZ MOHD FUAD BINN MARZUKI
KITAB : PENAWAR BAGI HATI
HARI : ISNIN
MASA : 1.00 p.m
TEMPAT : MASJID PUSAT DAKWAH ISLAM NEGERI KEDAH




Jom, Mulakan Langkah Baru !!

Umur kian bertambah saban tahun. Bermakna usia semakin meningkat. Kehidupan di dunia semakin pantas meninggalkan kita. Bererti destinasi kita ke alam yang kekal abadi makin hampir. Biarlah usia yang tersisa terisi dengan amal soleh dan kebajikan yang bakal menjadi bekal menentukan neraca timbangan di hari pembalasan. Hanya amalan soleh yang akan memandu kita menuju ke syurga. Sebaliknya, jika berat timbangan neraca keburukan dan kebatilan, maka ia akan memacu kita terjerumus ke lembah neraka. Tidak guna lagi penyesalan pada hari tersebut. Harta, anak-anak, kemewahan dan kedudukan di dunia tiada erti lagi melainkan hati yang bersih dan jiwa yang sempurna akan bergembira bertemu Tuhan Yang Maha Esa.

Berilah perhatian akan bicara Allah s.w.t di dalam ayat ini :

Maksudnya : “ Hari yang padanya harta benda dan anak pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apa pun, Kecuali orang yang datang menghadap Allah Taala dengan hati yang selamat sejahtera ( daripada syirik dan penyakit munafik ) “ [ Surah Asy Syu’ara’ : Ayat 88 & 89 – Rujukan Tafsir Pimpinan Ar Rahman ]

……..

“ Impian aku tahun lepas pun masih belum tertunai, sedar-sedar dah masuk tahun baru “. Bisik kita sendirian.

“ Banyak benda yang tak sempat nak buat lagi. Memang aku nak ubah perangai aku ni. Ish ! makin hari, makin tua, tapi masjid, surau, majlis ilmu masih tak tertunai. Kalau dulu aku sibuk dengan kerja. Macam-macam alasan yang ada kalau kawan-kawan ajak ke masjid. Tapi sekarang kalau nak ikutkan, aku dah tak sibuk dengan kerja. Masa pun banyak dihabiskan di rumah. Tapi pasal apa aku malas juga nak pergi masjid ? “ Bentak hati sanubari.

“ Aku cadang nak sambung mengaji tahun lepas. Tapi sedar-sedar dah masuk tahun baru. Daftar pun belum. Aduh ! “ Kesal menerjah dalam jiwa.

Dan bermacam-macam lagi yang kita sering dengar dari mulut mereka-mereka yang dengan sengaja tidak mahu impian mereka tercapai sedangkan tempoh setahun cukup lama dan dikira sempat untuk melakukan apa sahaja dengan syarat bersungguh-sungguh dan memiliki keazaman yang jitu. Tetapi apabila masuk sahaja tahun baru, keluhan-keluhan sebeginilah yang sering kita dengar. Awas, mungkin keluhan sebegini juga secara tidak sedar keluar dari mulut kita sendiri !

Jadi apa yang seharusnya kita lakukan ?

1. Ingatlah bahawa kelmarin merupakan sejarah, hari ini adalah peristiwa dan esok adalah cita-cita. Biarlah yang sejarah menjadi panduan dan pengajaran agar peristiwa hari ini menjadi pembakar semangat dan langkah berani untuk menggapai cita-cita esok hari.

2. Sambung azam tahun lepas dan bulatkan tekad mencari formula pelaksana yang mapan bagi melaksanakan azam yang telah dijanji. Usah bingung membuat azam baharu sedangkan cita-cita yang dahulu masih belum tercapai. Biar satu-persatu hasrat yang dicitakan menjadi kenyataan. Kita khuatir jika lemas dalam cita-cita hingga ia berubah menjadi angan-angan.

3. Memberikan sepenuh komitmen dan tumpuan kepada kerja-kerja untuk mencapai apa yang menjadi azam dan matlamat. Tinggalkan perkara-perkara remeh yang menjadi penghalang untuk kita terus maju ke hadapan.

4. Berani membuat keputusan. Untuk menjadi orang yang berjaya, kita mestilah berani memberikan kata putus. Jangan teragak-agak untuk melakukan sesuatu perkara yang difikirkan akan menguntungkan kita. Dan pastikan dalam membuat keputusan, kita mestilah mengambil kira pendapat dan pandangan orang-orang yang terpenting dalam hidup kita kerana merekalah yang akan membantu membakar semangat dan mengiringi perjalanan kita dengan doa dan redha untuk kesejahteraan kita. Jadi buatlah keputusan sekarang, memilih jalan yang terbaik untuk masa depan dan cita-cita yang diimpikan.

5. Pastikan kerja yang diamanahkan dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh. Tiada istilah malas dan tidak berani mencuba kerana malas itu batu penghalang yang terbesar untuk maju.

6. Setelah berusaha, serahkan kepada Allah s.w.t untuk menentukan baik buruk kerja yang kita lakukan. Bertawakkallah kepadaNya kerana kita insan hanya mampu merancang, Allah s.w.t yang menentukan.

نحن الإنسان ندبر والله ربنا يقدر

Ayuh ! marilah kita berazam untuk meningkatkan iman dan amalan kita bersempena dengan tahun baru hijrah yang bertandang. Biarlah kita menjadi orang rugi di mata manusia kerana tidak memiliki kesenangan dunia sedangkan kita kaya di sisi Tuhan dengan bekalan amalan yang dimiliki.


--------------------------------------