23 March 2011

Tinta al-Furqan




“kecelakaan besar bagi tiap- tiap pencaci dan pencela.”

Surah al-Humazah

Nama surah:

Dinamakan surah al-Humazah kerana ia dimulakan dengan firman Allah (maksudnya): “kecelakaan besar bagi tiap- tiap pencaci dan pencela.”

Perkataan al-Humazah bermaksud seseorang yang mengumpat dan mencaci orang lain dengan perkataan, perbuatan atau isyarat. Manakala perkataan al- Lumazah bermaksud orang- orang yang mencela orang lain dengan menggunakan isyarat kening dan mata. Ibn ‘Abbas berkata: “ al-Humazah bermaksud orang yang mencela, manakala al-Lumazah bermaksud orang yang suka meng’aibkan orang lain.


Kandungan Surah

Surah Makiyyah ini sebenarnya untuk mengatasi masalah moral yang begitu kronis dalam masyarakat iaitu suka mencela orang lain dengan umpat keji di belakang mereka atau meng’aib dan menjatuhkan maruah orang semasa mereka ada ada bersama.

Surah ini dimulai dengan pernyataan tentang azab yang pedih daripada Allah kepada orang- orang yang suka mencela dan mencaci serta menunjukkan kelemahan dan menghina orang lain. Firman Allah (bermaksud) : “ Kecelakaan besar bagi tiap-tiap pencaci dan pencela”. ( al- Humazah, 104:1)

Kemudian surah ini mencela orang- orang yang bersungguh- sungguh mengumpul harta benda di atas dunia seolah-olah mereka akan kekal di dalamnya. Firman Allah (bermaksud): “ Yang mengumpulkan harta dan berulang- ulang menghitung kekayaannya”. ( al- Humazah, 104 :2)

Surah ini diakhiri dengan menempelak dua golongan terdahulu dan menyatakan kesudahan mereka yang buruk iaitu dihumbankan ke dalam api neraka al-Hutamah.

‘Ata, al-Kalbi dan al- Suddi berkata: “Ayat ini diturunkan kepada al-Akhnas bin Shurayq yang suka mencela orang lain dan mencaci mereka, khususnya Rasulullah s.a.w”.

Muqatil pula berkata : “ diturunkan kepada al-Walid bin al-Mughirah yang mengumpat Nabi s.a.w. dari belakang dan mencela semasa berhadapan dengan Nabi. Diriwayatkan juga bahawa ‘Umayyah bin Khalf turut melakukan perbuatan tersebut”.

Sementara Muhammad bin Ishaq dan al-Suhaily berkata: “ Kami pernah mendengar ayat ini diturunkan kepada ‘Umayyah bin Khalf ”. Perkara ini diriwayatkan oleh Ibn Jarir daripada ‘Uthman dan Ibn ‘Umar.

Abu Hayyan berkata: “ Ayat ini diturunkan kepada al-Akhnas bin Shurayq atau al-‘As bin Wa’il atau Jamil bin Ma’mar atau al-Walid bin al-Mughirah, kemungkinan ia diturunkan kepada semua. Namun begitu, ayat ini bersifat umum dan sesuai kepada mereka yang memiliki sifat- sifat tersebut.”

Ternyata lafaz tersebut adalah umum, walaupun asalnya diturunkan kepada orang- orang tertentu, sama seperti firman Allah dalam surah Nun ( al-Qalam) : “ Dan janganlah kamu mengikuti kemahuan orang-orang yang suka bersumpah yang hina…” (al-Qalam, 68: 10-15) . Sesungguhnya Allah cuba mengaitkan sifat- sifat tersebut sehingga dapat diketahui golongan tertentu yang dimaksudkan oleh Allah.

Kaedah umum yang digunakan oleh golongan pengkaji dan ulama’ usul ialah: “Sesuatu sebab yang khusus tidak dapat menafikan kenyataan yang terdapat dalam lafaz yang umum.” Surah ini merangkumi 1/6 daripada maksud al-Qur’an yang menceritakan tentang tuduhan orang- orang yang ingkar.

Pedoman Hidup dan Hukum-hakam

Ayat- ayat di atas mengemukakan beberapa perkara:

1. Kerugian, azab dan kecelakaan kepada setiap pengumpat, pencela dan pencaci. Nabi Muhammad s.aw. bersabda:

(( شرار عباد الله تعالى المشاؤون بالنميمة ، المفسدون بين الأحبة، الباغون البراء العيب.((

Maksudnya : “ Makhluk Allah yang paling hina ialah orang –orang yang membuat fitnah dan yang merosakkan hubungan di antara orang- orang baik dan mencari- cari kesalahan atau ‘aib orang yang tidak bersalah.”


2. Seseorang yang mengumpat, mencela dan bersikap ego terhadap orang lain lumrahnya disebabkan harta kekayaan dan panjang angan- angan, Justeru kekayaan melahirkan rasa bangga diri, takabbur dan egoistic serta asyik mengira- ngira harta bagaikan tidak ada kerja lain. Ini adalah bukti sifat mementingkan hawa nafsu, kemewahan yang rendah nilainya dan tidak memperdulikan usaha untuk mendapat kebahagiaan abadi. Harta juga memanjangkan angan- angan sehingga menyebabkan seseorang itu lalai dan menyangka hartanya dapat mengekalkan kehidupannya di atas muka bumi.


3. Allah menolak semua anggapan tersebut, kerana harta tidak dapat mengangkat martabat seseorang dan ia juga tidak mengharuskan seseorang itu mencela orang lain serta harta juga tidak dapat mengekalkan kehidupan seseorang itu di dunia. Bahkan yang kekal ialah ilmu dan amal seperti yang diungkapkan oleh saidina ‘Ali k.m.h. :

مات خزّان المال، وهم أحياء، والعلماء باقون ما بقي الدهر.

Maksudnya: “penimbun (pengumpul) harta mati dalam keadaan ( masih) hidup. Manakala ulama’ kekal (hidup) sepanjang zaman.”

4. Allah menentukan azab kepada pengumpat, pencela, orang yang tamak mengumpulkan harta kekayaan, iaitu Allah akan menghumbankan mereka kedalam api neraka yang membakar segala yang dicampakkan kedalamnya. Neraka adalah api Allah yang menyala- nyala yang disediakan oleh Allah kepada kepada orang- orang yang melakukan maksiat. Api itu akan membakar semua benda yang terdapat pada tubuh badan manusia termasuk hati; selepas itu akan dicipta semula lalu api neraka membakarnya semula.

Pintu neraka tempat mereka diseksa bagaikan penjara yang tertutup dan ia menutupi mereka dalam keadaan terikat pada tiang- tiang panjang yang terdedah kepada semua sudut api neraka.

Khalid bin Abi ‘Umran meriwayatkan daripada Nabi s.a.w. :

أن النار تأكل أهلها، حتى إذا طلعت على أفئدتهم- أي تعلوها وتغلبها – انتهت، ثم إذا صدروا تعود، فذلك قوله تعالى: ( نار الله الموقدة التي تطلع على الأفئدة )

Maksudnya: “ Sesungguhnya api neraka membakar penghuninya sehinggalah sampai ke hati mereka sehinggalah habis semuanya. Kemudian apabila dicipta semula api neraka kembali membakarnya”, itulah maksud firman Allah: “ Api Allah yang dinyalakan. Yang naik menjulang ke hati”.

( alHumazah, 104: 6-7)